IPGKTHO

Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tun Hussein Onn (IPTHO) terletak di tapak seluas 60 ekar di Km 7.75, Jalan Kluang, Batu Pahat, Johor bersebelahan dengan Sekolah Teknik Batu Pahat. Kawasan yang seluas 60 ekar ini pada awalnya merupakan kawasan ladang estet, kelapa sawit dan kawasan pertanian. Memandangkan kedudukannya yang strategik dan sesuai dari segi kedudukannya di tepi jalan raya utama yang menghubungkan Bandar Penggaram (Batu Pahat) dengan Kluang. Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Tun Hussein Onn (IPTHO) ini telah dibiayai pembinaannya oleh Bank Dunia.

2014_12_18_08_11_14_OneShotPembinaan kampus institut oleh LBH Construction telah dimulakan pada tahun 1987 sebagaimana yang dirancangkan dalam Perancangan Pembangunan Pendidikan dalam rancangan Malaysia ke-5. Projek dengan kos pembiayaan lebih 20 juta ringgit itu siap pada bulan April 1992 dan penyerahan rasmi oleh pihak LBH Construction kepada Kementerian Pendidikan yang diwakili oleh Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia disempurnakan pada 19 Mei 1992. Institut ini yang amat indah dan dibanggai oleh semua orang ini telah disempurnakan perasmiannya oleh YAB Dato’ Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu pada 10 September 1994. Majlis penyampaian Diploma dan Sijil Perguruan kali pertama di maktab ini telah disampaikan oleh Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd. Zahid Bin Mohd. Noordin, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada sebelah malamnya.

Institut ini mula beroperasi sebagai maktab perguruan yang ke-30 di Malaysia pada 1 April 1992 di bawah pimpinan Tuan Haji Elias bin Haji Md. Hanafiah sebagai Pengetua pertama. Di antara staff akademik yang awal bertugas di maktab ini ialah En. Malik bin Haji Kasdu, En. Azni Jaafar, En. Mohd Noor bin Haron, Puan Ngah Hamsiah bte Ariffin dan beberapa orang pensyarah yang lain. Sebagai “perintis” di institut ini, mereka bukan sahaja membuat perancangan untuk menerima guru pelatih tetapi terpaksa juga melakukan tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran yang kebiasaannya dilakukan oleh kakitangan pejabat atau staf sokongan yang lain.