KBAT

1.0 Pengenalan

Asas kepada kejayaan sistem pendidikan terletak pada kualiti Kurikulum Kebangsaan, sekali gus menentukan kualiti modal insan yang dihasratkan. Justeru, keutamaan KPM adalah membina satu kurikulum yang memenuhi piawai antarabangsa dengan menekankan aspek kemahiran kreatif, penyelesaian masalah dan inovasi.

Kurikulum Kebangsaan bermatlamat untuk melahirkan generasi masa depan Malaysia yang seimbang serta menguasai kemahiran abad ke-21. Murid yang menguasai kemahiran abad ke-21 dengan kebolehan dan kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif mampu untuk bersaing di peringkat global. Kemahiran ini selari dengan enam aspirasi murid seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) iaitu setiap murid akan mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) telah diperkenalkan dalam Kurikulum Kebangsaan pada tahun 1994 melalui KBSR dan KBSM. Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) pula telah diperkenalkan mulai 2011 sebagai satu usaha untuk memperkukuh dan memperkasakan kemahiran berfikir dengan memberi penekanan kepada kemahiran menaakul. Pelbagai kemahiran berfikir telah digabungkan bagi tujuan membuat pertimbangan dan penilaian dalam menyelesaikan masalah.

Bagi menghadapi persaingan global yang semakin sengit dalam persekitaran ekonomi yang dipacu oleh inovasi, KPM telah memberi penekanan terhadap Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam sistem persekolahan. Pelaksanaan KBAT dalam sistem persekolahan menggunakan pendekatan yang menyeluruh dan sistemik yang merangkumi tujuh elemen yang terdiri daripada tiga elemen utama iaitu kurikulum, pedagogi dan pentaksiran serta empat elemen sokongan iaitu kokurikulum, sokongan komuniti dan swasta, sumber dan bina upaya. Semua elemen ini menyokong antara satu sama lain seperti Rajah 1.

KBAT diterapkan dalam sistem persekolahan supaya murid tidak hanya menghafal tetapi juga faham dan tahu apa yang mereka pelajari dan menggunakan akal fikiran pada tahap yang tinggi dengan menguasai kemahiran menilai, mengaplikasi, menganalisis dan mencipta.

KBAT di bilik darjah telah diperkukuh melalui pelbagai inisiatif seperti progam i-THINK, pendekatan Middle Years Programme International Baccalaureate, Sekolah Amanah dan Sekolah Angkat yang dapat membantu pihak sekolah memupuk kemahiran berfikir, menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat, mahir dalam menyelesaikan masalah dan berupaya menghasilkan jalan penyelesaian secara kreatif dalam kalangan murid.

Untitled-1

Rajah 1: Tujuh Elemen Utama Membudayakan KBAT di Sekolah


2.0 Kemahiran Abad Ke-21

Pelbagai penjelasan mengenai kemahiran abad ke-21 telah diterbitkan. Sebagai contoh APEC Members Economy (2008) mengenal pasti empat kebolehan dalam abad ke-21 iaitu pembelajaran sepanjang hayat, penyelesaian masalah, pengurusan diri dan kerja sepasukan. Manakala Partnership for 21st Century Skills menyatakan hasil murid dan sistem sokongan merangkumi kemahiran hidup dan kerjaya, kemahiran belajar dan inovasi (pemikiran kritis, komunikasi, kolaborasi dan kreativiti) serta kemahiran informasi, media dan teknologi. Rumusan daripada pelbagai penjelasan ini, kemahiran abad ke-21 boleh dibahagikan kepada dua aspek:

1. Kemahiran Berfikir

Setiap murid perlu menguasai kemahiran berfikir dalam usaha melahirkan generasi yang mampu mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam situasi yang baharu. Pendedahan kepada pembelajaran berasaskan projek yang melibatkan situasi sebenar memberi  peluang kepada murid untuk membuat keputusan yang bijak dan melihat perkaitan ilmu yang dipelajari merentas kurikulum. Kemahiran ini antaranya ialah:

□ Kreatif
□ Kritis
□ Menaakul
□ Berinovasi
□ Menyelesai Masalah
□ Membuat Keputusan

2. Kemahiran Hidup dan Kerjaya

Murid menguasai kemahiran hidup dan kerjaya bagi menghadapi kehidupan yang kompleks dan persekitaran kerjaya dalam dunia yang semakin mencabar. Antara kemahiran tersebut ialah:

□ Komunikasi
□ Teknologi maklumat dan komunikasi
□ Kerja sepasukan
□ Keusahawanan
□ Kepimpinan
□ Belajar sepanjang hayat
□ Fleksibel
□ Kebolehan menyesuaikan diri
□ Berinisiatif dan terarah kendiri

Nilai

Kemahiran berfikir perlu didasarkan kepada nilai yang ada pada murid itu sendiri bagi menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang sewajarnya. Murid yang mengamalkan nilai secara mampan mampu mempamerkan perwatakan yang mulia, berkeperibadian yang tinggi dan melaksanakan tanggungjawab serta memberi sumbangan yang bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negara. Nilai tersebut merangkumi kerohanian, berperikemanusiaan, bersemangat patriotik, berintegriti, bertanggungjawab dan bersatu padu.


Definisi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) ialah keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu.

Pelaksanaan KBAT

KBAT boleh diaplikasikan di dalam bilik darjah melalui aktiviti berbentuk penaakulan, penyelesaian masalah, pembelajaran inkuiri dan projek serta lain-lain. Melalui perancangan aktiviti sebegini, bimbingan daripada guru mampu menggalakkan murid meningkatkan amalan berfikir menggunakan alat berfikir seperti peta pemikiran serta penyoalan aras tinggi di dalam dan di luar bilik darjah. Murid akan lebih bertanggungjawab atas pembelajaran mereka sendiri. Bagi melaksanakan KBAT di sekolah terdapat 7 elemen iaitu Kurikulum, Pedagogi, Pentaksiran, Kokurikulum, Sokongan Komuniti & Swasta, Bina Upaya dan Sumber.


Sumber : Kemahiran Berfikir Aras Tinggi Aplikasi Di Sekolah (2014) Kementerian Pendidikan Malaysia, ISBN : 978-967-420-076-3